THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, January 19, 2011

HARI 3- Lagu Rakyat

Rabu
19 Januari 2011
Pada masa kini terdapat pelbagai jenis lagu yang disampaikan menggunakan bahasa dialek atau loghat negeri masing-masing. Aku sebagai anak Kelantan berasa sungguh berbangga dengan seni dan budaya yang terdapat di negeriku yang tercinta ini. Kesenian bahasa terserlah melalui lagu-lagu dikir barat yang banyak mengandungi mesej yang berguna kepada masyarakat kita. Di sini sebagai contoh, aku mengambil lirik lagu dikir barat yang dinyanyikan oleh penyanyi dikir barat terkenal iaitu Halim Yazid melalui lagunya yang bertajuk Tupai. Aku ada terdengar lagu ini dalam radio THR Pantai TImur yang dikeudarakan oleh juruhebah Isma Halil Hamzah. Mungkin ada di antara kalian tidak pernah mendengar lagu ini. Oleh itu, di sini saya ada menyediakan video lagu ini untuk tatapan semua.

Bait-bait lirik lagu ini jelas menggambarkan kehidupan masyarakat tidak kira di bandar mahupun di kampung atau desa. Banyak pengajaran yang diperoleh melalui video ini. Semuanya amat berguna dalam kehidupan kita. Lagu ini juga boleh dikategorikan sebagai lagu rakyat. Hayatilah lirik lagu ini versi Kelantan.
Lirik
Ado sekor…anok tupai…
Atas jula mokte…
kudung ekor..perut lapar…
jale cari make….
kejadie Tuhe..dipanggil namo tupai..
asalnyo dale hute…
sejenis mamalia…
kalu pasal jakit kot dehe…
diolah yang paling panda…
jatuh jaghe-jaghe
kerano dio tok sobar…
panda-panda tupai melopat
jatuh tanoh jugok…
nok wi kabar..oghe jahat…
jange terlajak manggak…
ooo…oghe zaman dulu…
pakat hambat tupai…
bimbang ko woh kayu …
takut tok de besar…
nyo durian duku…
kalu de nyo kerit tupai…
pendek tahun tuh…nyo durian tok de nok jual….
ooo…sekat bedil ado…
tupai habih mati….
hok ni lah sayo raso…
kito sgt rugi…
kito manusia…tinggi mano pon kito ngaji…
nok wak tupai sekor tentu skali nyo tok jadi
oooo…raso siye sunggoh….
tgk sekor anok tupai..
krano terlajok kuruh…
sapa tokleh niti pagar…
bulu-bulu pon habis luruh…
air mato bera-bera…
maghi dale baruh bokali keno racun bakar..

Lirik ni adalah alih bahasa lagu Tupai, yang dinyanyikan dalam loghat Kelantan oleh Halim Yazid.
ada seekor anak tupai
atas dahan rambutan
kudung ekor, perut lapar,
berjalan (merayau) cari makan


kejadian Tuhan, yang dipanggil nama (dinamakan) tupai
asalnya di dalam hutan, sejenis mamalia
kalau pasal berjangkit ke dahan, dialah yang paling pandai
jatuh jarang-jarang, pasal dia tak sabar
sepandai-pandai tupai melompat
jatuh ke tanah juga
nak menggambarkan kat orang jahat, jangan terlalu besar kepala
orang dulu-dulu, ramai-ramai kejar tupai
bimbangkan buah kayu (buah-buahan) tak sempat membesar,
nyior (kelapa), durian, duku kalau digigit tupai,
pendeknya tahun tu, kelapa durian tak sempat dan jual
orang sekampung, tupai seekor
berkejar hari-hari
pakat-pakat lingkung, pakat-pakat pekong(baling)
tupai tak sempat nak lari
bila senapang ada, tupai habis mati
yang inilah saya rasa, kita sangat rugi
kita manusia setinggi mana pun kita mengaji (belajar),
nak buat tupai seekor, tentu sekali takkan menjadi
sekarang ni di kampung atau di bandar
jarang boleh tengok
bapak tupai, ibu tupai.. berjalan bawak anak
rasa kesian sungguh tengok seekor anak tupai
kerana terlalu kurus, sampai tak boleh nak meniti pagar
bulu-bulu pun habis luruh, air mata berberai-berai (berderai-derai)
mari dari dalam baruh, barangkali (agaknya) kena racun tembakau
Jika diperhatikan lagu yang dinyanyikan dalam versi Kelantan lebih ringkas dan pendek liriknya berbanding lirik lagu dalam bahasa baku atau standard.
Berdasarkan lirik lagu ini antara mesej yang ingin disampaikan ialah:
1.   Kegigihan tupai dalam mencari makanan kerana sifat fizikalnya yang kecil dan hidup di dalam hutan atau habitatnya di atas pokok. Hal ini dapat disamakan dengan kehidupan kita di muka bumi ini. Setiap sesuatu kejayaan datangnya daripada usaha yang berterusan dan tidak kenal putus asa walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan risiko.
2.   Lagu ini turut menyelitkan unsur peribahasa iaitu sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah juga. Peribahasa ini turut sinonim dengan masyarakat kita. Setiap perbuatan yang menyalahi etika kehidupan pasti akan terbongkar jua akhirnya.
3.   Manusia juga sering menganiaya haiwan yang tidak berdaya seperti tupai apabila binatang ini merosakkan hasil tanaman mereka. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan haiwan perosak ini.


HARI 2- BAHASA ISYARAT-BADAN

Selasa
18 Januari 2011
Kisah pada hari ini berdasarkan penggunaan bahasa iaitu semasa kuliah Komsas berlangsung. Pada sesi pengajaran, Dr Khiriah iaitu pensyarah untuk kursus ini ada membincangkan perkataan ‘seloroh’ yang bermaksud mnyindir atau bergurau. Contoh yang diberikan ialah:
Si A : Cantiknya baju awak hari ini
Si B: Terima kasih.
Padahal sebenarnya Si A berkata demikian kerana Si B tidak perasan bahawa Si A sebenarnya yang memakai baju baru. Oleh sebab si B tidak menegurnya makan Si A pun berkata sedemikian.
Dr. Khiriah juga ada berkata bahawa bahasa badan banyak digunakan oleh orang-orang tua. Contohnya orang tua tidak suka jika anak-anak mereka bergaul dengan kawan-kawan mereka semasa mereka bertandang ke rumah. Orang tua atau ibu bapa kita juga akan mengelakkan anak-anak mereka menyampuk jika mereka sedang bercakap. Oleh itu mereka akan menggunakan bahasa isyarat seperti mengenyitkan mata supaya kita masuk ke dalam bilik atau menyuruh kita membuat air untuk tetamu yang datang. Sesetengah anak remaja tidak memahami bahasa isyarat yang ditunjukkan itu.
 Anak: Kenapa mak? Mak sakit mata ke?
(Si anak bertanya apabila melihat emaknya mengenyitkan mata kepadanya kerana tidak memahami maksud isyarat yang sebenarnya)

HARI 1- Amanat Naib Canselor

Isnin
17 Januari 2011
Hari ini merupakan hari pertama aku memulakan penulisan diariku. Situasi pada hari ini ialah berkaitan dengan amanat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Aminah Ayob yang diselitkan semasa kuliah pada pagi ini. Pensyarah kursus Sosiolinguistik kami, Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar mengatakan bahawa Naib Canselor menekankan SCL iaitu Student Centerd  Learning. Contohnya proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas tidak semata-mata bertumpu kepada guru. Pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada guru semata-mata untuk memberikan ilmu dan bahan pengajaran tetapi pelajar perlu mencari alternatif sendiri.  Sikap kerjasama ini akan menjadikan pelajar lebih berdikari dalam mengatur strategi pelajaran mereka.